Dari Ibnu Mas’ud R.A., Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Tidak digalakkan adanya perasaan iri hati melainkan kepada dua keadaan: Pertama, keadaan orang yang dikurniakan Allah S.W.T. harta benda, serta menjadikannya menguasai dirinya menghabiskan hartanya itu pada perkara kebajikan yang sebenar-sebenarnya, dan kedua, keadaan orang yang dikurniakan Allah S.W.T. ilmu pengetahuan agama, lalu dia beramal dengannya dan mengajarkannya.” Hadith riwayat Bukhari, Muslim dan Tarmizi.
Pelajaran yang kita dapati dari hadith ini ialah, kita TIDAK boleh mempunyai sikap iri hati kepada seseorang apabila melihat orang itu memiliki sesuatu kelebihan yang tidak ada pada diri kita. Sebagai contoh kita tidak boleh beriri hati jika seseorang itu memilikki harta yang banyak, atau seseorang itu berjawatan tinggi atau seseorang itu mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sedangkan kita tidak memilikki semuanya itu. Begitu juga dengan perkara-perkara yang lain.
Kita hendaklah bersyukur dengan apa yang ada pada kita dan berikhtiar untuk mencari yang selebihnya. Jangan sekali-kali kita bersikap iri hati kerana semuanya itu datang dari Allah S.W.T. Tetapi kita boleh beriri hati jika melihat:
a. Seorang kaya yang tidak membazir dengan hartanya, tidak kedekut, tidak tamak dan tidak mementingkan diri sendiri sehingga sanggup menghabiskan hartanya untuk membantu orang yang memerlukan bantuan dan ianya membelanjakan hartanya hanya kepada jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T.
b. Seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan agama dan manghabiskan masanya melakukan amal ibadah dengan sebaiknya, menghindari perbuatan yang dilarang Allah S.W.T. dan sanggup menyampaikan ilmu pengetahuan agamanya demi untuk menegakkan syiar Islam.
Kita hendaklah beriri hati terhadap sifat dua kumpulan hamba Allah yang disebutkan di atas dan berdoa memohon taufik dan hidayah dari Allah S.W.T. agar kita memiliki sifat yang demikian demi untuk mencari keredhaan Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment