Wednesday, 1 June 2011

PERSIAPAN UNTUK HARI AKHIRAT

Ingatlah 5 perkara sebelum datang 5 perkara. Salah satu daripadanya ialah hidup sebelum mati. Hayat yang ada ialah peluang yang paling berharga bagi seorang hamba Allah. Sesungguhnya setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Kematian adalah ketentuan Allah dan merupakan penamat segala kehidupan serta penutup segala peluang untuk beribadah kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T. dalam Surah Al-Mulk, ayat 2:
ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلۡمَوۡتَ وَٱلۡحَيَوٰةَ لِيَبۡلُوَكُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡغَفُورُ
Maksudnya:  “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu. Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Berkuasa lagi amat Pengampun.”
Selagi kita masih hidup, sama ada kita masih muda atau lebih-lebih lagi jikalau sudah tua hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya untuk melakukan amalan yang akan menjadi bekalan untuk hari akhirat. Kita sewajarnya menumpukan perhatian dan masa untuk berbakti kepada Allah dan memperbaiki segala ibadat.
Seorang pemuda pernah bertanya kepada Rasulullah S.A.W, “Wahai Rasulullah S.A.W. siapakah insan yang paling baik?”.  Rasulullah S.A.W. menjawab, “orang yang panjang usianya dan baik amalannya”. Pemuda itu bertanya lagi, “Siapa pula insan yang paling keji?” Baginda menjawab,  “Orang yang panjang usianya tetapi jahat lakunya.”
Berikut ialah persiapan-persiapan yang sewajarnya kita lakukan kerana kita sepatutnya sedar bahawa usia ini akan berakhir pada bila-bila masa. Antaranya ialah:-
1)      Kita hendaklah meluangkan masa untuk belajar atau menuntut ilmu khasnya memastikan akidah dan amal ibadat kita sah menurut Islam. Amalan yang baik dapat menambah keberkatan hidup dan memanjangkan usia.
Rasulullah bersabda “ Tiada yang dapat menolak ketentuan takdir melainkan doa dan tiada yang dapat memanjangkan usia melainkan amal kebajikan.” (Imam Tarmizi)
2)      Memilih sahabat yang baik serta mampu memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan kita, membantu meningkatkan kefahaman terhadap agama serta berani menegur ketika kita melakukan kesilapan.
3)      Kita juga hendaklah selalu bertaubat dan berusaha mengembalikan hak kepada yang berhak serta memohon maaf dan memberi kemaafan sesama insan.
4)      Selalu berdoa mengharapkan pertolongan Allah S.W.T.
Kesimpulannya, kita harus mensyukuri nikmat usia yang dikurniakan Allah dengan meningkatkan ilmu, beramal soleh dan menghiasi kehidupan ini dengan akhlak yang mulia. Selain itu, kita perlu melazimi taubat kepada Allah S.W.T dan memohon doa agar sentiasa ditetapkan iman dan mencapai husnul khatimah. Janganlah kita sesekali lalai dengan kehidupan dunia yang hanya sementara. Sebaliknya ingatlah bahawa kehidupan akhirat jua yang abadi.

No comments:

Post a Comment