Firman Allah S.W.T dalam ayat 58 Surah Yunus:
قُلۡ بِفَضۡلِ ٱللَّهِ وَبِرَحۡمَتِهِۦ فَبِذَٲلِكَ فَلۡيَفۡرَحُواْ هُوَ خَيۡرٌ۬ مِّمَّا يَجۡمَعُونَ (٥٨)
Maksudnya: Katakanlah – “Hanya kerana merasakan kurnia rahmat Allah kamu boleh bergembira dan itulah yang lebih baik (berguna) bagi mereka daripada apa yang dapat mereka kumpulkan sendiri”.
Setiap hari kita bekerja dan berusaha untuk mencapai matlamat dalam kehidupan kita. Seorang pelajar misalnya, akan berusaha untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya. Seorang peniaga pula akan berusaha memperbesar perniagaannya untuk meraih keuntungan yang banyak. Namun begitu kita haruslah ingat bahawa hasil daripada usaha pekerjaan kita hanya semata-mata datang daripada kurniaan dan rahmat Allah. Dengan adanya perasaan yang demikian barulah kita akan rasa bersyukur dan bergembira dengan apa yang kita dapat. Kita tidak akan berasa angkuh, sombong atau besar diri jika memperoleh pencapaian yang baik dan tidak pula susah hati jika hasil yang kita perolehi daripada usaha kita itu tidak memuaskan.
Contoh tauladan yang baik disebutkan di dalam Al-Quran pada ayat 40 dalam Surah An-Naml mengenai kisah Nabi Sulaiman A.S. ketika baginda mendapat istana Ratu Balkish dalam sekelip mata tersergam indah di hadapan istananya. Baginda menyebut, “Ini adalah limpah kurnia daripada Tuhanku untuk menguji adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya”.
Sebaliknya jika kita menyangka apa yang kita dapat itu semuanya semata-mata kerana usaha dan kepandaian kita, pasti kita akan merasa sudah cukup sempurna lantas menjadi sombong, ujub dan riak. Kita akan lupa kepada Allah yang Maha Memberi dan Maha Berkuasa atas segala-galanya seperti contoh yang terdapat dalam Al-Quran mengenai Qarun pada ayat 78 dalam Surah Al-Qasas.
Qarun menganggap dirinya sangat pandai, lantaran itu dia menyombong diri mengatakan bahawa “Sesungguhnya aku mendapat kekayaan ini kerana ilmuku semata-mata”. Akhirnya Qarun dimurkai Allah. Maka berlakulah gempa bumi yang dahsyat sehingga Qarun, rumah tangganya dan semua hartanya habis lenyap ditelan bumi.
Berusahalah untuk mendapat sesuatu yang kita hajati. Selepas kita berusaha, hendaklah bersyukur dengan apa yang kita perolehi. Ingatlah apa yang kita dapat itu semuanya kurnia daripada Allah S.W.T. Jangan sekali-kali menganggap semata-mata kerana kepandaian atau kepintaran kita dan jangan pula menyombong diri.
No comments:
Post a Comment