Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah, ayat 195
وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِۛ وَأَحۡسِنُوٓاْۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ
Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakan diri ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil), dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu, kerana sesunguhnya Allah mengasihani orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya”.
Membelanjakan harta pada jalan Allah mempunyai pengertian dan konsep yang luas. Antaranya perbelanjaan untuk diri sendiri dan perbelanjaan untuk menyara hidup ahli keluarga serta kaum kerabat seperti penyediaan makanan, tempat tinggal, perubatan, pendidikan dan sebagainya termasuklah juga dalam pengeluaran zakat, memberi sedekah atau mengeluarkan derma kepada golongan yang memerlukan.
Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah ayat 215:
يَسۡـَٔلُونَكَ مَاذَا يُنفِقُونَۖ قُلۡ مَآ أَنفَقۡتُم مِّنۡ خَيۡرٍ۬ فَلِلۡوَٲلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ وَٱلۡيَتَـٰمَىٰ وَٱلۡمَسَـٰكِينِ وَٱبۡنِ ٱلسَّبِيلِۗ وَمَا تَفۡعَلُواْ مِنۡ خَيۡرٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬
Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua hartabenda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada dua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan membalas dengan sebaik-baiknya).”
Harta kekayaan adalah salah satu nikmat kurniaan Allah S.W.T. kepada kita semua dengan fitrah kejadian manusia. Bahkan Islam menggalakkan agar kita semua berusaha mencari harta supaya dengan harta tersebut kita akan sentiasa menjadi umat yang kuat disamping mampu memberi bantuan melalui zakat, sedekah dan sebagainya kepada golongan yang memerlukan demi meningkatkan keimanan serta kesyukuran kita kepada Allah S.W.T.
Firman Allah S.W.T.dalam surah Al-Qasas ayat 77:
وَٱبۡتَغِ فِيمَآ ءَاتَٮٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلۡأَخِرَةَۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنۡيَاۖ
Maksudnya: “Dan tuntutlah harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia.”
Sehubungan itu, marilah kita menilai diri kita sama ada kita adalah seorang yang bersifat pemurah ataupun kita seorang yang bakhil dalam membelanjakan harta pada jalan kebaikan. Hal ini kerana setiap harta yang ada pada diri kita adalah merupakan ujian daripada Allah S.W.T. untuk menguji hambaNya sama ada kita bersyukur atau sebaliknya. Sama-samalah kita ingat bahawa segala harta yang kita miliki tidak akan kekal selama-lamanya kerana apabila sampai masanya ia akan berpindah ke tangan orang lain pula atau hilang lenyap. Oleh kerana itu Islam mengingatkan kita supaya menafkahkan harta kepada perkara-perkara yang baik untuk meraih nilai ketaqwaan yang tinggi di sisi Allah S.W.T. Sebagaimana firmanNya dalam surah Al-Imran ayat 92:
لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَىۡءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬
Maksudnya: “ Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi, dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Oleh itu hindarilah sifat kedekut dan kepentingan diri agar kita memperolehi kebajikan dan kebaktian yang sempurna daripada Allah S.W.T.
Berdasarkan firman-firman Allah S.W.T. yang kita telah baca ini, jelaslah kepada kita bahawa segala harta yang kita miliki adalah hak Allah S.W.T. untuk menguji sejauh mana keimanan dan keyakinan kita kepadaNya. Oleh itu sama-samalah kita pastikan setiap rezeki yang kita perolehi itu adalah halal lagi baik dan kita membelanjakan untuk tujuan-tujuan kebaikan. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan melipatgandakan harta kita, menghapuskan dosa-dosa kita dan menjadikan kita sebagai hambaNya yang sentiasa bersyukur dan memasukkan kita dalam golongan hamba-hambaNya yang soleh/solehah.
No comments:
Post a Comment