Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, maksudnya, “Manusia tidak dimasukkan ke dalam syurga kerana amalnya.” Maka sahabat bertanya: “Tidak juga Engkau ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Ya, tidak juga Aku. Aku dimasukkan ke syurga kerana rahmat Allah,”
Jelaslah kepada kita di sini bahawa kita dimasukkan ke syurga kerana kasih sayang dan rahmat Allah. Maka itulah yang patut kita usahakan. Apa-apa sahaja yang kita lakukan mestilah untuk menagih dan mencari kasih sayang serta rahmat Allah. Justeru hendaklah kita memperbanyak amal ibadah dengan ikhlas semata-mata kerana mengharapkan keredaan Allah S.W.T.
Adalah diingatkan bahawa beramal untuk mendapatkan pahala dan fadilat daripada ibadah yang kita lakukan itu tidak memberi apa-apa erti. Pahala dan fadilat bukanlah syarat utama bagi seseorang itu untuk memasuki syurga. Ianya juga bukanlah mata wang untuk membeli syurga. Syurga terlalu mahal untuk dibeli dengan pahala dan fadilatnya. Orang yang beramal untuk mendapatkan pahala dan fadilat seolah-olah telah menggantikan peranan Allah dengan fadilat dan pahala untuk masuk ke syurga. Janganlah hendaknya beranggapan bahawa pahala dan fadilat yang banyak itulah menjamin kita mendapat kasih dan sayang daripada Allah S.W.T.
Selain melakukan amal ibadah, kita hendaklah menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang Allah kerana takut dimurkaiNya dan tersisih atau terlepas daripada kasih sayang dan rahmat Allah.
Sebagai kesimpulannya, kita mestilah berusaha untuk melakukan segala perintah Allah dengan sebaiknya dan juga menjauhi segala laranganNya dengan harapan agar perbuatan kita diredaiNya dan kita tergolong dalam kumpulan orang-orang yang mendapat kasih sayang dan rahmatNya.
No comments:
Post a Comment