Sunday, 15 May 2011

MAKANAN YANG HALAL

Firman Allah S.W.T. dalam surah A-Nahl ayat 114:
فَكُلُواْ مِمَّا رَزَقَڪُمُ ٱللَّهُ حَلَـٰلاً۬ طَيِّبً۬ا وَٱشۡڪُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ إِن كُنتُمۡ إِيَّاهُ تَعۡبُدُونَ
Maksudnya: “Oleh itu, makanlah daripada apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu daripada benda-benda yang halal dan bersyukurlah dengan nikmat Allah jika benar kamu menyembahNya semata-mata.”
Umat Islam diperintahkan supaya memakan makanan yang halal dan mensyukuri nikmat Allah. Dalam memastikan makanan kita itu terjamin kehalalannya, ia hendaklah dilihat daripada dua aspek. Pertama, dari sumber yang halal dan yang kedua ialah halal zatnya.
Maksud sumber yang halal ialah makanan itu diperolehi daripada sumber yang mana? Adakah kita memperolehi makanan daripada hasil titik peluh kita sendiri dengan melakukan pekerjaan secara jujur dan ikhlas serta tidak curi tulang semasa bekerja? Atau secara mencuri, merompak, menipu atau dibeli menggunakan wang yang diperolehi secara haram seperti rasuah, judi, perniagaan secara riba atau pelaburan di tempat yang haram?
Seterusnya yang dimaksudkan dengan halal zatnya ialah “ain” makanan tersebut dibenarkan oleh syariat islam, disediakan mengikut cara yang dituntut oleh agama dan tidak dicampurkan dengan benda-benda yang haram seperti alkohol, khinzir, najis atau bahan-bahan yang memudaratkan.
Kita perlu tahu sumber makanan yang masuk ke dalam perut kita dan keluarga kita kerana makanan akan mempengaruhi kehidupan, perwatakan, nafsu dan pemikiran kita. Berikut ialah beberapa kesan buruk yang diperolehi orang yang makan makanan daripada sumber atau benda haram. Antaranya ialah:
  1. Doanya tidak diterima oleh Allah S.W.T.
  2. Jiwanya kotor dan berpenyakit (batin)
  3. Jasadnya menjadi bahan bakar api neraka
  4. Hatinya menjadi keras iaitu cenderung untuk melakukan kejahatan dan kerosakan
  5. Susah dan malas beribadah
  6. Hati sukar untuk menerima kebenaran
Oleh itu kita hendaklah sentiasa berwaspada dalam berkerja, memastikan apa yang kita makan dan minum serta apa yang kita berikan kepada keluarga kita adalah daripada sumber dan zat yang halal. Allah S.W.T sebenarnya telah menetapkan garis panduan bagi umat Islam dalam memilih pekerjaan dan makanan. Setiap apa yang ditetapkan oleh Allah S.W.T pastinya mempunyai hikmah dan kebaikan untuk umat manusia. Wallah hu aklam.

No comments:

Post a Comment