Monday, 9 May 2011

MEMBACA BISMILLAH

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Maksudnya:  “Dengan nama Allah yang maha pengasih yang maha penyayang”

Semua pekerjaan atau perbuatan baik yang kita lakukan setiap hari hendaklah dimulakan dengan MENYEBUT NAMA ALLAH iaitu membaca bismillah.

Sebagai contoh:
Hendaklah membaca bismillah apabila bangun tidur, menggosok gigi, mandi, memakai pakaian, bersikat,  duduk, bangun, berjalan, sarapan pagi, makan, minum, cuci tangan, cuci pakaian, memasak, menyidai pakaian, keluar rumah, masuk rumah, menaiki kenderaan, mula mengerakkan kenderaan, melintas jalan, keluar kenderaan, masuk pintu pejabat, keluar pintu pejabat, memulakan pekerjaan, masuk pintu pagar sekolah, masuk kelas, membaca buku, menulis, mengemas buku dan banyak lagi perbuatan yang kita lakukan setiap hari. Pendek kata apa sahaja perkara baik yang kita hendak lakukan hendaklah mulakan dengan membaca bismillah.

Apabila kita mula melakukan sesuatu dengan membaca bismillah kita sebenarnya telah mengingati Allah. Kemudian hendaklah lakukan perbuatan itu dengan berserah diri kita bulat-bulat kepada Allah S.W.T. sesudah kita berusaha dan berikhtiar dengan harapan:
a)      agar perbuatan kita itu diberkati Allah S.W.T. ,
b)      agar perbuatan kita itu berjaya dilakukan dengan sebaik-baiknya sebagaimana yang dikehendaki Allah S.W.T. , dan
c)      agar kita terhindar dari bahaya dan perbuatan tercela.

Memulakan sesuatu dengan membaca bismillah itu merupakan satu adab mematuhi perintah Allah S.W.T. sebagaimana FirmanNya dalam wahyu yang pertama yang diturunkan kepada nabi Muhammad S.A.W.

ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ 
Maksudnya:  “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”

Bagi perbuatan yang ada doanya, hendaklah kita membaca doa itu sesudah membaca bismillah. Contoh: Apabila hendak makan, baca bismillah diikuti dengan membaca sebelum makan.

No comments:

Post a Comment